Abstract

Makalah ini ditulis berdasarkan kajian tentang aspek rujukan dalam teks akademik. Perbincangan dalam keseluruhan makalah akan memberikan fokus terhadap penggunaan anafora dalam teks akademik berdasarkan teks Blue Ocean Strategy (2005) yang diterjemahkan sebagai “Strategi Laut Biru” oleh Yayasan Kajian dan Strategi Melayu. Anafora bermaksud rujukan semula yang bertujuan untuk mengurangkan pengulangan unsur bahasa yang sama dalam sesuatu ayat atau wacana. Fungsi anafora adalah untuk memperlihatkan kesempurnaan makna, kepelbagaian gaya dan pertautan idea. Makalah ini secara khusus akan membandingkan penggunaan anafora dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dan penelitian yang khusus tentang anafora dalam kedua-dua bahasa ini akan dapat memperlihatkan bentuk-bentuk anafora yang lazimnya digunakan dalam teks akademik. Unsur anafora dalam teks terjemahan akan dianalisis berdasarkan pendekatan analisis kontrastif. Kajian ini menerapkan model pautan yang telah dicadangkan oleh Halliday (2004). Fokus kajian ialah rujukan personal dan rujukan demonstratif. Kajian ini telah menjelaskan dengan terperinci penggunaan anafora khususnya rujukan personal dan rujukan demonstratif dalam teks akademik yang secara tidak langsung dapat menunjukkan kepentingan hubung kait sesuatu maklumat sesebuah teks dengan menggunakan anafora. Hal ini penting kerana proses untuk memahami sesuatu teks itu ialah kebolehan seseorang pembaca untuk menghubungkaitkan antara maklumat semasa dengan maklumat yang telah dinyatakan sebelumnya. Berdasarkan analisis kajian, didapati bahawa penggunaan unsur anafora dalam teks bahasa Inggeris dan bahasa Melayu berbeza kerana sesuatu unsur anafora itu tidak semestinya mendapat padanan satu lawan satu antara bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Hal ini menunjukkan bahawa penggunaan anafora tidak semestinya selari antara kedua-dua bahasa kerana setiap bahasa mempunyai sistemnya yang tersendiri.

Full Text
Paper version not known

Talk to us

Join us for a 30 min session where you can share your feedback and ask us any queries you have

Schedule a call

Disclaimer: All third-party content on this website/platform is and will remain the property of their respective owners and is provided on "as is" basis without any warranties, express or implied. Use of third-party content does not indicate any affiliation, sponsorship with or endorsement by them. Any references to third-party content is to identify the corresponding services and shall be considered fair use under The CopyrightLaw.