Abstract

Bermukun merupakan salah satu aktiviti seni warisan budaya masyarakat Sarawak yang masih kekal relevan hingga ke hari ini. Aktiviti bermukun melibatkan tiga komponen utama iaitu bergendang, berbalas pantun dan bertandak. Metodologi kajian ini melibatkan kajian kualitatif dan analisis kandungan berbantukan Model Segi Tiga Semiotik. Data pantun dikumpul melalui kajian lapangan yang melibatkan aktiviti bermukun dan kaedah persampelan yang digunakan ialah kaedah persempelan bertujuan. Implikasi kajian ini menjadi output kepada pembinaan Profil Perlambangan Pantun Tradisi Bermukun Masyarakat Melayu Sarawak dan Profil Makna Pantun Tradisi Bermukun Masyarakat Melayu Sarawak. Aktiviti berbalas pantun ini dianggap unik kerana disampaikan secara spontan yang didendangkan melalui nyanyian. Keindahan berbalas pantun dalam tradisi bermukun ini juga dapat dilihat melalui penggunaan ungkapan dalam rangkap pantun tersebut. Ungkapan ini diwakili oleh perlambangan yang berbentuk eksplisit dan implisit yang mencerminkan keintelektualan dan seni berkomunikasi dalam kalangan masyarakat Sarawak. Namun begitu, unsur perlambangan yang berbentuk eksplisit dan implisit boleh menimbulkan ketidakfahaman disebabkan oleh kekangan bahasa yang berbeza. Kesannya, mesej yang cuba disampaikan melalui pantun tersebut tidak difahami oleh bukan penutur jati. Hakikatnya, budaya berbalas pantun yang diwarisi sejak turun-temurun ini dapat memupuk rasa cinta kepada aktiviti seni dan budaya dalam kalangan masyarakat di negeri Sarawak. Hal ini sejajar dengan peranan dan fungsi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang dipertanggungjawabkan di bawah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sarawak. Justeru, kajian ini dijalankan bagi mengenal pasti unsur perlambangan dan menganalisis makna eksplisit dan implisit dalam rangkap pantun Melayu Sarawak serta mendokumentasikan pantun sebagai hasil seni khazanah bangsa.

Talk to us

Join us for a 30 min session where you can share your feedback and ask us any queries you have

Schedule a call

Disclaimer: All third-party content on this website/platform is and will remain the property of their respective owners and is provided on "as is" basis without any warranties, express or implied. Use of third-party content does not indicate any affiliation, sponsorship with or endorsement by them. Any references to third-party content is to identify the corresponding services and shall be considered fair use under The CopyrightLaw.