Abstract

Kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti tahap kepuasan ibu bapa terhadap kualiti pendidikan prasekolah di daerah Maran, Pahang. Kajian ini juga menentukan perbezaan di antara tahap kepuasan ibu bapa terhadap kualiti pendidikan prasekolah dengan berdasarkan faktor jenis prasekolah, jantina, tahap pendidikan dan pendapatan. Teori Expectancy-Disconfirmation telah digunakan sebagai teori asas kajian ini. Ia disokong oleh model Harris Interactive Poll Organization. Pendekatan kuantitatif dengan reka bentuk kajian tinjauan deskriptif digunakan dalam kajian ini. Pemilihan subjek kajian dijalankan secara persampelan rawak berlapis melibatkan 148 orang ibu bapa, di mana 74 orang ibu bapa dipilih dari tiga buah prasekolah KPM dan 74 orang ibu bapa dipilih dari tiga buah prasekolah swasta di daerah Maran. Daripada 74 orang ibu bapa dari prasekolah KPM dan prasekolah swasta masing-masing, 37 orang ibu dan 37 orang bapa dipilih sebagai sampel secara rawak. Data dikumpul menggunakan soal selidik skala Likert empat mata. Sebelum pengumpulan data, instrumen diuji di sebuah prasekolah KPM dan sebuah prasekolah swasta di daerah Maran untuk memastikan kesahan dan kebolehpercayaan. Data yang dikumpul dianalisis dengan menggunakan perisian Statistical Package for the Social Science (SPSS) versi 23.0. Data dianalisis dengan menggunakan analisis deskriptif dan inferensi. Analisis deskriptif menjelaskan tahap kepuasan ibu bapa terhadap kualiti pendidikan prasekolah, manakala analisis inferensi melibatkan ujian t sampel bebas dan ujian Anova sehala yang menerangkan perbezaan antara tahap kepuasan ibu bapa terhadap kualiti pendidikan prasekolah dengan faktor demografi. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap kepuasan ibu bapa terhadap kualiti pendidikan prasekolah adalah tinggi. Ujian t sampel bebas menunjukkan terdapat perbezaan signifikan di antara tahap kepuasan ibu bapa dengan jenis prasekolah tetapi tidak terdapat perbezaan signifikan di antara tahap kepuasan ibu bapa dengan faktor jantina. Analisis Anova sehala pula menunjukkan tidak terdapat perbezaan signifikan di antara tahap kepuasan ibu bapa dengan tahap pendidikan dan pendapatan ibu bapa. Kesimpulan daripada kajian menunjukkan bahawa ibu bapa sangat berpuas hati dengan kualiti pendidikan prasekolah yang diberikan kepada anak-anak mereka di daerah Maran, Pahang dengan skor min keseluruhan 3.23. Kajian ini mencadangkan agar kerajaan dan pihak berkepentingan mengambil langkah untuk meningkatkan lagi kualiti pendidikan prasekolah dan memperuntukkan sumber untuk memenuhi tuntutan ibu bapa.

Full Text
Published version (Free)

Talk to us

Join us for a 30 min session where you can share your feedback and ask us any queries you have

Schedule a call